Catatan Cikgu:April 2008
Menulis tetap mengasyikkan , sama ada puisi atau prosa; aku cuba merakam perasaan dan melihat kejadian dari kaca mata pencerita dan mengambil pendekatan menyuarakan ‘critical voice’.
Buku-buku bacaanku banyak juga pengaruhnya. Melihat kepada cara penulisan buku pengurusan dan pendidikan Barat, aku sering memikirkan bahawa kita patut ada karyawan dan profesional yang menulis dengan cara kreatif dan inovatif. Dalam profesion pendidikan, penulisan guru kita kian bertambah Meskipun demikian, jumlahnya masih belum boleh dikatakan memenuhi selera besar agenda pendidikan.
Di barat, guru disebut juga sebagai ‘reflective practitioner’ atau pengamal reflektif kerana sifat guru yang mesti sentiasa berfikir menilai tindakan. Bahkan amalan sedemikian memberi faedah yang luas terutamanya apabila mereka bersedia berkongsi amalan dan pengalaman melalui laman web, blog, serta pelbagai seminar, simposium dan persidangan.
Mereka bersemangat dan bangga berkongsi inovasi atau dapatan menarik dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Perkongsian mereka termasuklah pendekatan teoritikal yang kompleks sehinggalah kepada cara membimbing pelajar menyelesaikan tugas serta menyediakan nota dan buku skrap; mereka mencatat dan sedia berkongsi. Kita juga mencatat, tetapi selalunya hanya di ruang “refleksi” dalam buku rekod mengajar; itupun jika kita digesa melakukannya oleh guru besar dan pengetua.
Di negara kita, walaupun telah melalui banyak perubahan melalui usaha pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) seperti usaha BPG, PPK, IAB, serta Majlis Pengetua Kanan, PKPSM, MGB dan seumpamanya; masih banyak ruang peningkatan yang boleh dilakukan. Perkembangan penyebaran kaedah dan pelaksanaan kajian tindakan (‘action research’) di sekolah-sekolah yang semakin meningkat menjanjikan perkembangan positif dalam agenda memartabatkan profesion perguruan. Perkongsian amalan-amalan terbaik (‘best practices’) yang mencakup semua aspek amalan perguruan memang sedang dikongsi dan disebarkan.
Aku pernah terfikir bahawa semua Pengetua dan Guru besar patut ada catatan dalam bentuk buku log sebagaimana seorang kapten kapal menulis dalam ‘captain’s log’. Hal, isu, kejadian, keputusan serta kesannya yang signifikan terhadap sekolah bukan sahaja mempunyai nilai reflektif profesional yang tinggi tetapi juga mempunyai nilai sejarah sekolah yang unik, dapat dikongsi dan dimanfaatkan oleh warga pendidikan.
Persoalannya adalah sejauh mana kita cukup sensitif atau cakna terhadap keperluan sikap reflektif? Berapa ramaikah dalam kalangan warga pendidik kita berminat membaca prosiding seminar, kolokium dan persidangan ataupun jurnal pendidikan tempatan atau luar negara? Berapa ramai pula yang tahu serta mempunyai akses bahan-bahan sedemikian?
Pendedahan melalui pelbagai program dan aktiviti menyeluruh di semua peringkat akan dapat merealisasikan sifat reflektif guru yang tidak dapat dinafikan kepentingnnya. Pada pandanganku jika tugas kita mengajar dan menyeru kepada kebaikan dan kebenaran, kita memang menjalankan tugas nabi dan rasul. Profesion yang amat mulia! Adakah kita menilai atau memuhasabah amalan keguruan kita secara jujur?
Catatan Cikgu:Mei 2008
Melatih Guru Sandaran Tidak Terlatih? Encik Amirullah Bidin, Ketua Unit Pengurusan Sekolah, PPD Bentong begitu bersungguh-sungguh mahu berbincang tentang modul latihan bagi kumpulan yang ”hidup semula” pada tahun 2008 apabila pembekuannya ditarik balik. Kesedaran bahawa semua guru (terlatih mahupun tidak terlatih) yang mengajar di sekolah mesti mahir atau ”dilihat mahir” memang sudah tersebar. Barangkali ungkapan pelaksanaan undang-undang bahawa ”Keadilan bukan sahaja mesti dilaksanakan tetapi mesti juga dilihat (proses) pelaksanaannya” membawa isu profesionalisme yang senada .
..........................................................................................................
Kes 1: Seorang penjaga pelajar mengadu rasa tidak puas hati terhadap seorang guru. Aduan disampaikan kepada pegawai PPD itu mengandungi butiran bahawa guru tersebut ”tidak pandai mengajar”, anaknya ”tidak faham” pengajaran, guru ”kurang memberi latihan” dan ”tidak memeriksa latihan”.
Kes 2: Dalam majlis perjumpaan berkala pelajar kelas peperiksaan bersama pengetua, seorang pelajar yang mewakili rakan-rakan sekelasnya bangkit meminta supaya ”ditukar” seorang guru tertentu dengan guru lain kerana mereka ”tidak seronok” belajar. Apabila ditanya, alasan mereka pelbagai: ”Kami tak faham”, ”Cikgu tak mesra”, ”Tak macam Cikgu A dan C mengajar” dan ”Cikgu tak kisah kami faham ke tak”.
..........................................................................................................
Cara pihak pengurusan menjawab aduan dan rungutan dengan cara yang profesional memerlukan perbincangan lain. Isu yang jelas daripada kedua-dua kes tersebut ialah para pelanggan menyuarakan rasa tidak puas hati.
Ibu bapa dan pelajar mengadu tentang “kekurangan” guru di sekolah-sekolah; bahkan berani menyuarakan bahawa mereka tidak yakin dan mendesak pihak sekolah atau PPD atau JPN menukar guru yang kurang mahir atau kurang pengalaman. Kita sebagai guru tidak perlu kecil hati, jauh hati atau rasa apa-apa “hati” lain lagi kerana ibu bapa dan pelajar, seperti kita juga sentiasa membanding-banding.
Walau bagaimanapun, sebagai manusia biasa, di samping kecil hati dan sebagainya yang bersifat negatif, defensif, submisif atau escapism, kita sebagai guru (manusia luar biasa) mesti bangkit dengan suara hati yang reflektif terhadap amalan dalam bilik darjah. Tepuk dada tanya profesinalisme dan integriti. Profesion yang amat mulia ini memerlukan personel yang besar hatinya!
Thompson (2007) mengutarakan pandangannya tentang soalan bagaimana menjadi guru yang terbaik yang kita mampu? Jawabnya amat mudah iaitu jadi pelajar! Memang kadang-kadang apabila baru bergelar guru (juga yang sudah lama) kita lupa untuk menjadi pelajar yang terus belajar. Kata-kata orang Minang: ”Yang setitis jadikan lautan, yang sekepal jadikan gunung, alam terkembang jadikan guru” amat patut direnungi.
Catatan Cikgu:November 2008:
”Selamat Mengembala, Menjawab, Mengasah dan Berkayuh”
”Murid kami dah nak exam tapi tak nampak bersungguh pun!” Keluhan cikgu-cikgu kita yang begini sudah semacam klise. Masam ”baunya” dan menimbulkan rasa tak selesa. Demam cikgu tak kebah-kebah bimbangkan ’exam” anak murid sejak awal tahun.
Apatah lagi apabila melihatkan keputusan percubaan yang menggerunkan macam menuruni ’roller coaster’ di taman tema. ”Kalaulah tak naik tadi”. ”Kalaulah jatuh terpelanting”. ”Kalau mati macam manalah anak-anak...” Segala macam kalau (”sejenis pokok yang tak pernah berbuah”) ni tak ada gunanya. Ketika itu, jika berlaku hanya ada dua kemungkinan:OK atau TAK OK.
”Kalaulah tak mengajar kelas exam – dah terlambat (tak berbuah)
”Kalaulah result jatuh merudum (bunyi pun dah ’doom’ dalam Bahasa Inggeris yang bermaksud bala, bencana, kesusahan, maut, kemusnahan, tragedi ).
...Sambungan Catatan Cikgu: 8 dan 9 November 2009!
Cikgu-cikgu tetap takut berdepan pelbagai kemungkinan tetapi masih berharap. Biasanya apabila takut, cikgu sibuk mencari jalan. Kelas tambahan (siang, malam, hujung minggu), konsultasi semasa rehat, klinik, ICU, bimbingan, motivasi, modul, lonjakan/lompatan/pecutan akhir, tips, solat hajat, doa, ’supplement’ atau makanan tambahan untuk minda – vitamin, kismis, madu, kurma, jus, air ( segala yang boleh ditelan, dimamah, di minum, berbiji dan berair), motivasi, mohon restu, rehat minda dan macam-macam lagi (tersekat nafas menyebutnya) adalah sebahagian usaha cikgu yang orang ramai tahu tapi tak nampak besar dan serius.
Bagi cikgu-cikgu ni, ’hope is not a method’ - macam judul buku yang ditulis oleh Gordon Sullivan, seorang jeneral bersara tentera Amerika apabila menjelaskan betapa profesional, objektif, strategik serta berkesannya organisasi tentera yang dianggap ”organisasi yang paling berkesan sepanjang zaman” .
Cikgu-cikgu memang kreatif dan profesional mencari jalan yang bukan dari andaian tetapi melalui pemerhatian, data, dan fakta . Memang ada segelintir yang mencari alasan untuk tidak bersungguh-sungguh tetapi itupun setelah ”nampak” bahawa usahanya tidak mendatangkan hasil. Sebahagiannya mendapati anak murid sukar, payah, liar atau tak mahu diajar.
Jika kita membuat refleksi secara jujur, barangkali akan jelas bahawa anak murid ada yang ”terperangkap” di dalam lubang yang mereka gali setelah usaha ”gali lubang-tutup lubang” menemui kegagalan. Bungkus!
Mereka tak mahu berada dalam situasi begitu tetapi keadaan memaksa dan menyeksa. Mereka nak releks, lepak, bahkan mencipta pelbagai escapism tetapi kenyataan yang pahit (’brutal truth’) iaitu mereka mesti menghabiskan sekolah dengan kejayaan akademik atau berdepan dengan stigma seorang yang ”kurang atau tak cerdik”, ”tak pandai”,”tercicir”, ”terlingkup”, ”kantoi” dan segala yang hodoh dan hina pada mata dunia materialistik. Itu pun ada yang mengambil jalan macam Aiman: tak kisah...
Mereka telah lama terkena dos hiburan yang berpanjangan, keseronokan palsu yang ditayang dan dijaja saban hari melalui pelbagai media dan bahan maklumat yang sedikit sebanyak meracun minda atau sekurang-kurannya ”melarikan tumpuan” terhadap matlamat sebenar hidup dan kehidupan. Memang semua itu jadi ’escapism’ mereka dalam alam persekolahan yang menyeksakan.
Ramai pelajar lelaki (berdasarkan survey mudah) telah menonton bahan lucah era multimedia yang bisa ”mencopot jantung kakek-kakek”. Ada yang seawal tahap satu sekolah rendah! Dari mana diperolehi? Jangan marah. Kebanyakanya dari bilik ayah dan abang! Ada juga dari kawan.
Budak lelaki manakah yang tak terangsang rasa ingin tahu dan terus mencarinya jika ada peluang? Budak lelaki manakah yang akan tahan godaan apabila bahan-bahan begini begitu mudah bertukar tangan melalui telefon 3G, begitu mudah dibeli/dimuat turun dari kedai telekomunikasi. Telefon bimbit dan laptop adalah antara bahan yang masuk senarai utama untuk dimiliki (jika mampu). Di sekolah bahan-bahan lucah tersebar melalui ’pen-drive’, ’SD card’, ’micro-SD’ dan media simpanan maklumat yang seumpamanya.
Itupun belum lagi ditambah dos masalah rumahtangga ibu bapa mereka, masalah kemiskinan, keluarga berpecah, penderan mental, fizikal (dan seksualnya sekali bagi yang malang). Jadi jika ramuannya sudah demikian, apakah yang dapat kita harapkan daripada mereka?
Bayangkan pula masyarakat sekeliling yang bersifat nafsi-nafsi , kau-kau, aku-aku, tanpa peduli; jauh sekali cakna akan jalan atau hala yang benar serta jelas. Kita seperti sedar akan penghujung atau kesudahan jalan murid-murid sedemikian tetapi setakat manakah yang cikgu dapat lakukan untuk membantu?
Masyarakat memang tidak kedekut juga memuji guru. Cuma harapan dan bebanan yang dipikul oleh guru zaman moden ini amat berat. Hanya yang cekal dan yakin akan pertolongan serta ganjaran hari akhirat akan terus ”bertongkat paruh” . Bersaksilah bahawa yang sebahagian ini akan berjaya!
Saya ada kes pelajar-pelajar perempuan yang ”dimandikan” guru perempuan serta disuruh berwuduk dan solat (dalam keadaan bersuci) buat pertama kali dalam usia 15 belas tahun. Juga ada yang mengajar berwuduk yang betul pada usia 17 tahun! Ada murid-murid lelaki dan perempuan Muslim yang tak pernah mandi hadas walaupun dah lama baligh dengan bangganya (macam iklan Naruto).
Nanti sekejap. Adakah ini seperti akan menghala kepada menuding jari, salah-menyalah (bukan sayang menyayang nyanyian Jamal dan Sarah)? Tidak sama sekali.
Semua orang ada peranan. Pelajar sendiri, ibu bapa, guru, anggota masyarakat, alim ulama, NGO, media massa, PPD, JPN, KDN, KPM dan kerajaan memang ada sumbangan dan peranan untuk membiar, melihat (sahaja), buat-buat tak nampak, melarikan diri, mengurang, mencegah, mengubat, merawat, mencari jalan dan terus mencari jalan melepaskan siksaan jiwa murid atau pelajar; yang apa pun orang kata, tetaplah mereka itu budak-budak.
Atas nama budak dan murid (yang bermaksud berkehendak) itulah yang bakal banyak berdiri menjawab persoalan tentulah ibu bapa dan guru. Atas nama budak berwarganegara Malaysia pula tentulah pihak-pihak yang lebih atas bakal menanggung dan menjawab. Terjemahan dari hadis yang masyhur daripada Nabi Muhammad s.a.w. yang lunak bercampur serius dan tegas saya petik dari buku kecil ”Jadilah Seperti Muhammad s.a.w.”:
Abdullah bin Umar memberitakan “Saya mendengar Rasulullah s.a.w. berkata, Setiap orang daripada saudara-saudara sekalian adalah pengembala dan setiap orang ditanya berkaitan pengembalaannya. Pemimpin ialah pengembala dan ditanya berkaitan pengembalaannya. Lelaki ialah pengembala ke atas keluarga dalam rumahnya dan ditanya berkaitan pengembalaannya. Perempuan ialah pengembala di dalam rumah suaminya dan anak-anaknya serta ditanya berkaitan pengembalaannya. Pekerja pula ialah pengembala harta majikannya dan ditanya berkaitan pengembalaannya. Jadi, setiap orang antara saudara-saudara sekalian ialah pengembala. Semuanya akan disoal berkaitan pengembalaannya.”
(Direkodkan oleh Bukhari & Muslim)
Selamat mengembala dan menjawab soalan. Tarikh soalan dikemukakan tak dapat dipastikan walaupun peperiksaan itu pasti lepas mati nanti. Cuma soalannya dah lama bocor. Bagi yang suka mengejar soalan-soalan bocor, haa.. inilah masanya untuk bersedia.
Berbalik kepada hal cikgu-cikgu. Siapapun tak berani menyatakan bahawa menjadi guru dalam zaman ini ialah kerja mudah. Barangkali menimbangkan secebis senario di atas pun ”bahang” kerja guru dah terasa.
Itupun seperti kata Cikgu Hamedah Wok Awang, ”lebih mudah mengasah mata parang”. Bagi sekolah yang terpaksa ”mengasah belakang parang” pula apa hal? Bukan sekolah pilihan. Bukan sekolah rancangan. Bukan sekolah projek. Bukan sekolah elit. Bukan sekolah itu dan ini yang hebat dengan kejayaan dan kecemerlangan.
Selamat mengasah, cikgu-cikgu.
Cuma jangan terkeliru dan salah anggap bahawa sekolah-sekolah yang berjaya serta hebat itu mudah mengembala murid. Allah sahaja yang tahu susah senang, jerih perit serta usaha yang dilakukan. Macam tengok itik atau angsa berenang begitu mudah dan tenang; hingga melahirkan idea puisi dan lagu yang indah-indah . Bagai meluncur, menggelungsur di permukaan air.
Hakikatnya, kalau ada lensa kamera di bawah air, tahulah kita bahawa kaki haiwan cantik itu berkayuh bagai nak rak! Macam tak ada esok. Macam nyawa mereka menjadi taruhan.
Selamat berkayuh sahabat-sahabat.
Wednesday, December 9, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment