Wednesday, June 8, 2011

Malam Hujan Lebat

Ketika berdiri di hadapan pohon sebesar paha yang merintangi jalan, sedikit pun aku tidak terfikir betapa banyak pengajaran Allah sediakan malam ini. Malam hujan lebat dengan ribut petir. 

Beberapa detik sebelumnya aku membrek kereta yang dipandu hampir 55 km/j. Anak-anakku menjerit apabila terlihat pokok yang aku langgar. Aku menekan butang 'hazard light' dan keluar dalam hujan yang lebatnya berkurangan. Sebuah kereta Toyota Wish berhenti di belakang dan turut menyalakan lampu kecemasan. Dia memeriksa bahagian hadapan keretaku dan membuat rumusan pantas. "Kena sikit depan tu". Aku seboleh-bolehnya tak mahu memeriksa kereta dalam keadaan cemas begitu. 

Tebing jalan yang sedikit tinggi itu barangkali tak mampu bertahan akibat curahan hujan dan tiupan angin. Pohon balak muda yang menyembah jalan basah itu terlalu berat untuk kederat aku dan pemandu Wish tadi mengalihnya. Beberapa kenderaan yang dipandu laju terpaksa mengalah.Lorong dua hala yang boleh dilalui 3 kereta itu hanya boleh meloloskan satu kenderaan. Sebuah motosikal membrek cemas di sebelah keretaku. Seorang penunggang motosikal dari arah bertentangan turun untuk membantu. Lori 1 tan mendekat perlahan dan berhenti apabila kami bertanya "Ada parang?". 

Kami sefahaman nampaknya apabila semuanya cuba mengawal lalulintas dan mengalih halangan di jalan Semambu yang sibuk. Jam ketika itu baru beberapa detik melewati 8.30 malam.

Aku dan orang yang turun dari kenderaan untuk membantu semuanya berpakaian gelap. Hari malam dengan hujan begini menambah pelbagai risiko. Aku dapati parang yang dipinjamkan pemandu lori itu cukup membantu. Parang panjang berbentuk sabit itu aku hayun keras menakik dahan-dahan sebesar lengan. Aku cuma ingat yang aku memotong 3 dahan dan mula mengah. Pemandu Wish pula tak dapat banyak memotong dahan kerana parang pendua yang kecil bukan lawan pokok tumbang yang juga berserabut dengan pokok-pokok menjalar yang keras. 

Tidak disangka-sangka, bantuan datang dalam bentuk sebuah jengkaut yang muncul dari lorong perumahan berdekatan. Tak pernah aku rasa begitu gembira melihat jengkaut.Pemandunya mengisyaratkan dengan tangan agar aku mengundurkan sedikit kereta.Tampang gergasi besi yang gagah itu begitu meyakinkan serta melegakan. Dengan sekali sodok sahaja, pokok yang tumbang itu dikesampingkan ke tebing yang tadinya seakan mengkhianati kehidupannya.

Aku, pemandu Wish,pemandu lori, pemandu jengkaut dan penunggang motosikal mengangkat tangan saling mengucap terima kasih. Kami tiada banyak komen. Kami cuba menyelesaikan masalah gangguan awam sedapat mungkin dan Allah membantu. Dalam waktu kurang 15 minit semuanya selesai. 

Aku mula membuat refleksi:
1. Betapa bersyukur tiada kejadian lebih buruk. Aku mungkin terlanggar terus pokok tumbang dan dilanggar dari belakang oleh kenderaan lain:Lori,bas, lori simen, lori tayar 16? Korban malam ini selain sedikit waktu makan malam kami hanyalah sekeping plat nombor kereta, (Syukurlah pada Allah dengan sekolah yang kita dapat),
2. Kami cuba menyelesaikan masalah tanpa mengira siapa, asalkan dapat memberi bantuan. Aku mengingat semula bahawa malam ini semangat 1Malaysia jelas dizahirkan. Penunggang motosikal, keturunan India, pemandu jengkaut; keturunan Cina, aku dan pemandu Wish:keturunan Melayu. (Dapat jadi modal aku bercerita kisah benar kepada murid), 
3. Pentingnya memandu perlahan dalam keadaan hujan, lebih-lebih lagi waktu malam. (Utamakan keselamatan di sekolah),
4. Aku patut lebih berhati-hati. Sebelum melanggar pokok tumbang, sekurang-kurangnya dua kereta memberi isyarat lampu. Aku tafsirkan isyarat itu sebagai: "Rendahkan lampu kenderaan.Silau!" Aku silap tafsir. (Masalah di sekolah jangan ditafsir buta-buta. Sahkan!),
5. Untuk menyelesaikan masalah, kita perlu memahami keadaan. Kita mesti memahami risiko dan mengambil tindakan yang tepat.(Sekolah mesti amalkan pendekatan ini),
6. Dapatkan pertolongan jika perlu. Jangan tunggu hingga terlambat atau sehingga di luar kawalan. (Murid, guru, staf dan diri kita sendiri boleh dibantu jika kena cara/pendekatannya), 
7. Kemalangan dan kematian boleh berlaku bila-bila masa. Sedarkah kita? Sediakah kita dengan risiko lanjutannya? (Masalah di sekolah adalah pakej dan jodoh kita. Sedia fizikal, mental, rohani dan hadapi),
8. Allah sentiasa menguji kita. Kesukaran itu banyak hikmatnya. Anakku Ainul kata:"Banyak dosa ni". Aku kata:"Tiap kesusahan itu ujian dan peringatan dan Allah nak hilangkan/balas dosa kita."(Kalau murid tak dengar cakap dan nasihat kita di sekolah, adakah kerana kita tak patuh suruhan Allah?),
9. Penunggang motosikal itu berkata: "Mujur tak hempap kereta, saya ingat kena. Abang mesti orang banyak sembahyang." Alahai...Terkedu juga aku sebab dia yakin dengan balasan Tuhan. Cuma "sifir" kami saja yang berbeza. Muka "cap ayam" yang banyak dosa ni tak ada sekelumit hak pun untuk menghitung tukaran ('barter trade')demikian. (Jangan hitung jasa di sekolah, teruskan usaha),

Malam hujan lebat menyaksikan aku buat pertama kalinya mengajar anak-anakku sujud syukur kerana dihindarkan dari musibah yang tidak terkira kebarangkalian buruknya.

Malam hujan lebat meninggalkan aku mencari-cari pengajaran yang boleh membantu aku menjadi pemimpin sekolah yang tak dapat digoncang keyakinannya.

Wednesday, June 1, 2011

Tempat Jatuh Lagi Dikenang –Pemimpin Sekolah Belajar Dari Pengalaman


TEGAS
Kelmarin muridku menghantar mesej: “Janganlah tegas sangat”. Aku senyum membacanya. Memang sejak dulu apabila bertegas, akan ada muridku yang mengakui takut. 

Di SMART dulu, ada murid-murid (sampai kini) yang mengingat aku sebagai ‘strict’ dan garang. Aku memang diberi kuasa merotan oleh semua pengetuaku. Anak-anak kenalanku juga ada yang “takut” dan “segan” nak mengadu atau melapor tentang masalah di sekolah. Selalunya sampai melalui ibu bapa.

Ada muridku di Seri Bentong bertanya melalui anak-anakku sama ada aku “tegas macam tu ke di rumah?”. Anak-anakku menganggap soalan sedemikian “kelakar” kerana mereka lebih mengetahui.

Tapi aku juga dikenali oleh sebahagian besar murid dan ibu bapa sebagai cikgu yang “selalu senyum” dan mudah dibawa berbincang. Sentiasa menyambut salam dan menegur murid di mana-mana. Selalu menggosok belakang dan meletak tangan di bahu murid di koridor atau kantin. Rakan-rakan setugas juga ada yang menganggap demikian. ‘Cool’. Murid yang menghantar mesej itu tadi juga pernah menulis komentar selepas aku mengendalikan sesi pertemuan bersama semua murid Tingkatan 5:"Macam bapa dengan anak la pulak.."

Bahkan di Seri Bentong dan Bukit Rangin kini ada ibu bapa yang menganggap aku sebagai pengetua yang “baik sangat” dengan konotasi condong ke arah “terlalu lembut” dengan murid . Maksudnya mudah kesian, mudah percaya, mudah beri muka. Aku senyum lagi.
Kaunselor Badaludin dari SMART dulu ketika merumus aktiviti Kembara di Bukit Pelindung pernah berkata, “Saya ingat Haji ni personaliti biru tapi rupanya ada juga emas” (sistem personaliti 1970-an dimodelkan Don Lowry).

Kem Kepimpinan Pengawas SMART yang kami (Team Gurkha/Flying Squad) kendalikan memang menjadi legasi tahun-tahun 1990-an. Muridku yang seorang ini bercerita (setelah tamat persekolahan) bahawa pengalaman paling teruk yang diingati dalam kem ialah dia terlalu takut (“I was so scared. I was trembling.”) Manakan tidak, aku bertempik sakan apabila ada “kesilapan” dalam kumpulan. Mereka tak sempat berfikir panjang kerana semua aktiviti yang dirancang penuh dengan “hambatan masa”. Watakku sering menukar ‘mood’ peserta menjadi serius.

Aku berpendapat bahawa:
1.Pandangan orang tentang diri kita boleh berbeza. Bergantung kepada sisi yang mereka nampak. Bergantung kepada pengalaman bersama kita. 
2.Suasana berbeza menuntut watak yang berbeza. 
3.Ada kerugian juga apabila hanya satu watak kita selaku pemimpin dilihat orang lain.Halangan atau ‘barrier’ komunikasi boleh berlaku
4.Jujurlah melahirkan emosi mengikut suasana. Kawal jugalah supaya tidak keterlaluan dan tidak padan bagi seorang pemimpin.

Aku menjawab mesej di awal catatan: “Tegas adalah salah satu pakaian cikgu”.                               Dia bertanya pula: “Mahal tak pakaian tu?” 
Aku jawab dengan satu perkataan: ‘Priceless’

Memang tegas itu tak ternilai harganya jika kena pada tempatnya bagi seorang pemimpin


MENDAKI BUKIT RANGIN

MONDAY, MAY 30, 2011

      Beberapa hari lalu saya membaca buku baru Timbalan Pengarah Pelajaran Pahang,              Encik Yahya Zainal Abidin - "Mendaki". Saya alami pendakian tersendiri di SMKBR.
     Hari akhir sebelum cuti kami bertemu semua murid Tingkatan 3 dan 5 di ruang terbuka. Kelas dalam cuti mulai 30 Mei hingga 3 Jun telah dijadualkan. Penerangan telah dibuat. Surat makluman untuk penjaga telah dikirim lebih awal. Pada pertemuan Jumaat itu, saya mengajak semua murid untuk datang dan mengingatkan bahawa guru-guru sanggup untuk datang. Maka murid mesti lebih sanggup untuk datang demi kebaikan dan kemajuan sendiri.

     Saya menyatakan akan menghubungi penjaga dan pergi ke rumah jika murid tak hadir. Saya ada jangkaan bahawa akan ada murid yang tak akan hadir. Tiada kebangaan jika betul dalam jangkaan begini.

     Hari ini, 30 Mei 2011, saya mengambil masa beberapa jam cuba enjejak/menghubungi murid-murid bertuah dalam jangkaan.

           Saya menyemak 3 fail Tingkatan 5.
           Merujuk 3 buku Rekod Kedatangan Murid.
           Mencatat 29 nama murid yang tidak hadir.
           Saya mendail lebih 40 nombor telefon.
           Menjejak kasih bersama Zul ke 4 rumah selepas jam 8.30 pagi.
           Saya miss makan tengah hari.
           Saya masih di pejabat mendail hingga jam 6.00 petang.

     Ada yang sedang tidur, ada yang keluar bertuala sahaja, ada yang pagi-pagi lagi dah keluar untuk "ambil kawan" tapi tak muncul di kelas! Ada yang ibu bapa tak tahu menahu tentang kelas. Ada yang tahu tapi tak dapat membangunkan anak dari tidur. Ada yang tak tahu ke mana perginya anak.

     Nombor-nombor telefon dalam Buku Rekod Kedatangan bukan semuanya mudah dibaca. Nombor tulisan tangan boleh "menipu" mata. Salah dail. Salah baca. Salah nombor. Nombor tiada dalam perkhidmatan. Nombor dah bertukar tuan. Tak dapat dihubungi. Nombor di luar kawasan.

     Ada murid sakit dan ada di rumah. Ada yang pergi medical appointment . Ada yang iringi bapa untuk medical appointment. Ada yang ikut keluarga "keluar", hantar abang, kakak. Ada yang pesan pada kawan. Kawan tak pesan pada cikgu. Ada yang pesan pada cikgu, tak ada catatan dan makluman. Ada yang lupa hari dan ada yang lupa jam. Macam-macam ada!

     Encik Wahab komen:”Budak-budak sekarang bertuah dapat guru-guru prihatin.”
     Encik Mahmudin kata:"Bos jadi operator (telefon) hari ni".
                                        "Ini pasal NKRA la, kena jaga ranking".

     Entahlah, yang saya tahu cikgu-cikgu Bukit Rangin memang dah lama kerja kuat. Sebelum NKRA pun. Bukit Rangin memang menjanjikan pendakian yang mencabar. Itu saya dah tahu dari awal lagi sejak tiba di sini.